Mendung cuaca pagi ini.
Burung-burung berkicauan riang, rumput-rumput segar menghijau, angin pula
bertiup secara bersahaja, macam dah tak ikhlas nak jadi angin. Kelihatan Pak
Tungkit sudah bingkas bangun dari tidurnya. Namun, air mukanya jelas
mempacarkan satu kebimbangan. Keluh-kesah, entah apa yang bermain di benak
fikirannya. Pak Tungkit mendongak, langit mula dipenuhi awan hitam, sebentar
lagi mungkin akan hujan. Bininya, Mak Radiah masih belum bangun.
Mundar-mandir Pak Tungkit
berjalan. Sekejap ke depan, sekejap ke belakang. Sekali-sekala dia mengusap
janggut panjangnya. Hendak bersarapan pun dia tidak lalu, inikan pula mahu
mandi pagi. Di waktu ini memang airnya sangat sejuk. Jarang sangat Pak Tungkit
mandi kalau airnya sejuk. Pak Tungkit meneruskan renungannya sebentar tadi.
“Menung mendenya tu bang? Dari
tadi macam bangang aje saya tengok”, tegur Mak Radiah yang baru bangkit. Pak
Tungkit terdiam sejenak, kemudian mula bersuara, “Yah, tahun ni abang punya
turn Yah”. Wajah Mak Radiah serta-merta berubah, kelopak matanya bergenang,
diikuti dengan tangisan teresak-esak. Pak Tungkit memeluk isterinya itu dengan
penuh kasih mesra.
“Nanti jaga anak kita baik-baik Yah.
Abang sayangkan Yah taw”, Pak Tungkit bercakap dalam nada sebak. Mak Radiah
masih lagi menangis, tiada satu perkataan pun yang mampu dituturkannya. Matanya
merah pekat, tidak pernah dia menangis sebegini rupa. Dipeluknya Pak Tungkit seerat mungkin, seperti tidak mahu melepaskannya sampai bila-bila.
*********************************
Itulah antara perbualan terakhir
di antara Mak Radiah dan arwah suaminya, Pak Tungkit yang telah pun selamat menjadi
korban raya. Semoga kisah dua ekor kambing ini dapat memberi pengajaran kepada
kita semua bahawa cinta di antara kambing pun sama hebatnya dengan manusia. Sekian.